Friday, October 31, 2008

PENGARUH MANIK DALAM FESYEN


Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE 28/10/08

KASUT yang dihiasi dengan manik untuk pengantin sehari (rujuk gambar di atas).

Manik yang pernah suatu ketika dulu, disifatkan sama nilainya dengan emas oleh masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak kerana keistimewaannya dalam menghasilkan kraf yang juga sumber pendapatan utama keluarga kini telah mengalami transisi yang ketara dari segi rekaan dan penggunaannya.

Bahkan, kini semakin ramai yang sedar, mahir dalam hiasan manik mampu menjana pendapatan lumayan jika diusahakan secara bersungguh- sungguh.
Manik kini tidak sekadar hanya dibuat untuk kraf hiasan etnik beberapa suka kaum di negara ini tetapi telah dipermodenkan malah dinaikkan tarafnya sebagai hiasan yang dalam menghias pakaian berjenama, aksesori dan hiasan dalaman.
Malah, kerajaan turut menggalakkan golongan wanita khususnya suri rumah yang memiliki kemahiran dalam bidang jahitan dan hiasan manik supaya bijak memanfaatkan kreativiti mereka itu dengan melibatkan diri dalam dunia perniagaan ini.
Namun begitu, dalam memodenkan pembuatan hiasan manik, yang penting ialah kreatif dalam menggabungkan corak dan bahan bagi menghasilkan rekaan yang cantik. Justeru itu, pemilihan manik yang sesuai mampu menyerlahkan hasil rekaan.
Trend ketika ini banyak membuat gabungan pelbagai jenis manik seperti bulat, bujur dan warna-warna yang menceriakan di samping mutiara, labuci dan batu-batu kristal untuk memberi kelainan pada sesuatu hasil kerja itu.
Selain cantik, harga upahnya juga lebih tinggi dan sudah pasti memberi pulangan yang baik bagi mereka yang mahir dan mahu mengambil upah menjahit manik.
Kini, manik bukan lagi hanya penghias pakaian tetapi butirannya yang pelbagai bentuk dan berwarna-warni menjadi hiasan di segenap permukaan sepatu, ia mampu menyerlahkan gaya si pemakai.

Begitu juga dengan fesyen tudung bermanik dan pakaian tradisional bermanik yang sangat popular sekarang. Bagi mencantikkan lagi hiasan di pakaian dan tudung, gabungan manik dan beberapa aksesori sampingan termasuk labuci, kristal dan pelbagai lagi turut dilakukan.
Tidak ketinggalan juga dengan aksesori manik yang menggabungkan antara kristal, kerangan, mutiara telah mencantikkan dan menjadi lebih elegan aksesori itu.
Jika dulu, manik semata-mata, tetapi menerusi kreativiti, ia telah menjadi satu produk yang bukan sahaja setakat dijadikan cenderamata tetapi menjadi produk jualan import dan eksport sekiranya kena dengan hiasannya.
Mempelbagaikan penggunaan manik terhadap produk hiasan dalaman turut menjadi agenda utama Kraftangan Malaysia. Ia bukan sekadar layak dijadikan hiasan pada bakul atau pakaian tetapi telah dipermodenkan dengan beberapa inovasi yang boleh diterima umum. dan tidak terlalu etnik.

No comments: